DIY Ipad Dari China. Buat sendiri je der…

BEIJING – Seorang lelaki di China, Liu Xinying menunjukkan cara-cara memasang sendiri komputer tablet menyerupai gajet popular keluaran Apple, iPad tetapi melibatkan kos yang lebih murah.

Dalam klip video 20 minit di laman perkongsian video China, Youku, lelaki itu menunjukkan cara bagaimana untuk memasang komputer tablet mirip iPad itu dengan menggunakan beberapa peralatan komputer, sebuah skrin sentuh bersama sebuah sarung serta papan kekunci.

Pada penghujung klip video berkenaan yang berjudul DIY IPAD 3, Xinying menunjukkan komputer tablet berkenaan yang sudah siap dipasang.

Komputer tablet pasang sendiri itu agak tebal dan berfungsi seperti iPad tetapi ia dijana sistem operasi Windows keluaran Microsoft.

Berita mengenai kehebatan lelaki itu seterusnya tersebar di beberapa laman web luar negara dan laman teknologi China selain laman jaringan sosial tempatan, Weibo.

Apabila dihubungi, pemuda berusia 21 tahun dari wilayah Shandong, timur China itu berkata, sejak klip video itu disiarkan di Youku pada bulan lalu dia terpaksa menolak lebih 12 permintaan orang ramai yang mahukannya membuat komputer pasang siap tersebut.

“Saya membuat komputer pasang sendiri ini untuk keseronokan sahaja,” kata Xinying yang bekerja di sebuah kedai komputer di bandar raya Jinan.

“Kos untuk membuat komputer ini bersamaan 2,000 yuan (RM933),” tambahnya.

Kos tersebut adalah jauh lebih murah berbanding versi iPad 2 termurah di China yang dijual pada harga sekitar 3,688 yuan (RM1,721) manakala model iPad 64 gigabit iaitu yang paling mahal di negara berkenaan pula berharga 5,288 yuan (RM2,467). – AFP

Serang ayah enggan ceraikan ibu

SEORANG pembantu kantin menunjukkan kerusi dan meja yang rosak akibat pergaduhan anak dengan bapa di Pasir Mas semalam. PASIR MAS – Pekarangan kantin Mahkamah Syariah Pasir Mas di sini, kecoh semalam apabila seorang anak bergelut dengan bapanya setelah tidak berpuas hati dengan tindakan bapanya yang enggan menceraikan isterinya selepas permohonan dibuat di mahkamah tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, lelaki berusia sekitar 50-an itu sedang minum di kantin terbabit sebelum didatangi anak lelakinya dan berlaku pertengkaran antara mereka sehingga menyebabkan berlaku pergelutan di antara mereka berdua.

Menurut peniaga kantin terbabit, Fadzilah Ismail, 52, pada mulanya kedua-dua beranak itu berbincang mengenai masalah mereka namun ia bertukar tegang apabila lelaki berusia 50-an terbabit mempersoalkan tindakan anaknya yang terlalu menyebelahi ibu.

Maka bermulalah pertelingkahan antara mereka dengan si anak mengambil jag air dan menyimbah ke arah bapanya.

Sumber: Kosmo Online

Datuk T mengaku tayang video

KUALA LUMPUR – Trio Datuk T yang terlibat dalam pendedahan video seks lelaki mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu didenda oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah menayang secara terbuka adegan lucah kepada umum.

Dua daripada trio itu, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, 51, dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuaib Lazim, 72, masing-masing didenda RM3,000 dan RM1,500.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, 60, pula didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Shazryl dan Shuaib.

Jika gagal membayar denda tersebut, Shazryl berdepan hukuman penjara tiga bulan manakala Shuaib dan Abdul Rahim masing-masing bakal dikenakan penjara dua bulan dan sebulan.

Kesemua tertuduh tenang sepanjang prosiding dan tersenyum sebaik hukuman diputuskan.

Majistret Aizatul Akmal Maharani memutuskan demikian terhadap ketiga-tiga tertuduh selepas menerima pengakuan salah serta meneliti fakta kes dan eksibit yang dikemukakan kepada mahkamah.

“Hukuman yang dijatuhkan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kepentingan tertuduh yang perlu seimbang, rayuan dan hujah serta latar belakang masing-masing,” kata Aizatul.

Terdahulu, Shazryl dan Shuaib didakwa dengan niat bersama menayangkan bahan lucah iaitu video seks adegan seorang lelaki dan wanita secara terbuka antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari pada 21 Mac lalu di bilik Seri Makmur, Hotel Carcosa Seri Negara, Taman Tasik Perdana, Persiaran Mahameru di sini.

kredit : kosmo.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...