Disebabkan dakwaan kekurangan gaji pokok, kebanyakan golongan tenteralah yang banyak menyertai skim cepat kaya yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan penipu licik di negara kita. Disebabkan tekanan hidup dan desakan kekurangan wang, golongan tentera sanggup berhutang dengan Ah-long semata-mata untuk menyertai skim cepat kaya!
Menurut Utusan Online;
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
muzdalifah.mustapha@utusan.comKUALA LUMPUR 22 Sept. – Anggota pasukan keselamatan negara antara golongan paling ramai menyertai skim pelaburan cepat kaya kerana mendakwa gaji yang diterima tidak mencukupi.
Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, menerusi laporan dan aduan diterima pihaknya, golongan tersebut cenderung melaburkan wang ke sebuah syarikat pelaburan kereta sewa di sini.
Katanya, bagaimanapun syarikat tersebut yang tidak mempunyai lesen untuk beroperasi hanya bertahan kurang daripada lima tahun ekoran pihak berkuasa pantas menghidu sindiket penipuan mereka.
“Apa yang menyedihkan, sejak syarikat tersebut didakwa atas kesalahan tidak memiliki lesen, semua anggota keselamatan yang melabur sehingga mencecah ribuan ringgit sehingga kini menjadi mangsa buruan ah long.
“Mereka meminjam dari ah long bagi menyara kehidupan keluarga ekoran wang simpanan habis digunakan selain gaji dipotong setiap bulan untuk pelaburan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Ahmad Zaki berkata, bentuk skim pelaburan yang diperkenalkan oleh syarikat berkenaan ialah skim pelaburan kereta sewa dengan pelabur perlu melaburkan wang mereka sekurang-kurangnya 30 peratus daripada harga sesebuah kenderaan yang ingin dibeli.
Jelasnya, apabila para pelabur telah membeli mana-mana kenderaan dengan cara pelaburan bersama, kenderaan itu akan dikendalikan oleh syarikat berkenaan sebagai kenderaan angkutan untuk para pelancong.
“Hasil penyewaan kenderaan kepada syarikat-syarikat pelancongan yang dijalankan oleh syarikat pelaburan itu kononnya diberikan kepada pelabur atau pemilik kenderaan.
“Para pelabur yang hampir keseluruhannya terdiri daripada anggota keselamatan bagaimanapun mengakui menerima hasil masing-masing tetapi hanya untuk tempoh tiga tahun pertama,” kata beliau.
Beliau berkata, sindiket syarikat tersebut mula dikesan ketika negara gempar dengan kes skim cepat kaya tanpa lesen dengan menahan kira-kira lima syarikat dan salah satunya adalah syarikat pelaburan itu.
Kini, katanya, syarikat tersebut masih disiasat dan jika didapati bersalah akan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Tetapi bagaimana dengan nasib anggota-anggota keselamatan yang terperangkap, sehingga kini tiada pihak boleh membantu dan selesaikan masalah mereka,” ujarnya.
Justeru, Ahmad Zaki berkata, pihaknya merayu pihak-pihak yang berkaitan untuk memberi peluang kepada para anggota keselamatan melabur dalam skim khas pelaburan yang lebih meyakinkan.
“Mereka sepatutnya wajar dibantu kerana banyak berkorban jiwa dan raga. Mungkin antara pendekatan lain yang boleh diambil ialah dengan memberi insentif bagi pembelian barangan keperluan dan kenaikan gaji,” kata beliau.

Recent Comments