Rasul melayu tak puasa, ditahan ketika sarapan

Abd. Kahar Ahmad yang mengaku dirinya sebagai rasul melayu nampak gayanya kenalah beraya dalam penjara tahun ni kerana ditahan pagi tadi ketika enak bersarapan dengan anaknya. Adeh… dah la ngaku rasul, pastu tak puasa lak tu. Ape cer abang wei…

Abd. Kahar Ahmad masih lagi boleh ketawa, seolah-olah tiada apa yang hendak disalahkan.

Menurut Utusan Online;

SHAH ALAM 16 Sept. – Selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri, Abd. Kahar Ahmad yang mendakwa dirinya ‘rasul Melayu’ terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di dalam penjara.

Ini berikutan perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini yang mengarahkannya ditahan sehingga perbicaraan lima tuduhan berkaitan ajaran sesat yang dihadapinya bermula.

Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad memerintahkan tertuduh ditahan selama lapan hari mengikut Seksyen 107 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003 selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid.

Beliau menetapkan 24 September ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan itu.

Terdahulu, Abdul Shukor memohon agar Abd. Kahar, 59, dikenakan waran tersebut untuk membolehkan tertuduh ditahan di penjara sehingga perbicaraan pada 7 Oktober ini.

Katanya, selepas 19 Jun 2006, ketua ajaran sesat itu tidak pernah hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kesnya walaupun beberapa kali dikenakan waran tangkap.

Menurut beliau, kehadiran tertuduh pada hari ini juga bukan atas kerelaan atau kesedaran sendiri, tetapi selepas dia berjaya ditangkap dan dibawa oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke mahkamah.

Abd. Kahar bagaimanapun merayu agar dibebaskan dengan jaminan dan memaklumkan dia tidak hadir kerana menerima ugutan bunuh dan bimbang akan dibunuh semasa berada di mahkamah.

Dia turut mendakwa ada pihak cuba membunuhnya apabila rumahnya dibakar selain masih belum mendapat peguam selepas dituduh empat tahun lalu.

”Saya membuat pengakuan bahawa saya tidak akan lakukan apa-apa tindakan termasuk menyebarkan risalah atau apa-apa sehingga tarikh perbicaraan.

”Saya juga berjanji tetap akan hadir, Insya-Allah,” katanya.

Peguam pemerhati mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar yang menyokong permohonan pihak pendakwa turut mencelah bahawa keselamatan Abdul Kahar akan lebih terjamin sekiranya dia berada dalam tahanan.

Abd. Kahar yang berkemeja kuning dan berseluar gelap tiba di mahkamah kira-kira pukul 11.15 pagi diiringi beberapa pegawai penguat kuasa JAIS.

Turut hadir menemaninya ialah dua anak perempuannya. Mereka bagaimanapun tidak masuk ke dewan bicara kerana tidak berpakaian menutup aurat.

Abd. Kahar didakwa pada 17 Ogos 2005 atas tuduhan mengisytiharkan diri sebagai rasul orang Melayu akhir zaman dan menjelaskan doktrin palsu (isu-isu keagamaan) yang bertentangan dengan hukum syarak berhubung agama Islam.

Dia juga didakwa mengingkari, melanggar arahan mufti iaitu masih menjelaskan amalan dan mengajar ajaran Kahar Ahmad di hadapan tiga lelaki sedangkan ia telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada Islam.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, Abd. Kahar didakwa telah mempersendakan amalan Islam serta menyebarkan pendapat dan ajaran Kahar antaranya, rasul tidak benar dan bertentangan dengan hukum syarak serta fatwa yang masih berkuat kuasa di Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 dan 2 Jun 2005 di No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang dekat sini.

Mahkamah ketika itu membenarkan Abd. Kahar dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM8,000. Dia bagaimanapun tidak hadir sehingga kes tersebut tidak dapat dibicarakan sejak empat tahun lalu.

Kegiatan rasul melayu ini sebenarnya telah lama dipantau oleh JAKIM di laman webnya:

Oleh ROSMAN MD SHAH

´Rasul Umat Melayu´ sudah muncul! Rasul untuk semua umat Melayu – takrifan ´Melayu´ mengikut kitab Rasul Umat Melayu adalah mereka yang bertutur dalam bahasa Melayu, faham cakap Melayu biarpun sekadar faham ´sikit-sikit´ bahasa Melayu. Kitab sandaran yang ´diturunkan´ atau ´diwahyukan´ kepada ´Rasul´ terbaru ini adalah Surah Yaasin dan naskhah ´al-Quran Melayu´ – tafsiran berdasarkan logik akal dan kedangkalan intelektual individu yang mendakwa menerima ´wahyu´ daripada malaikat utusan Allah.

Antara ajaran ´menarik´ dan ´pelik´ yang di ketengahkan oleh ´Rasul Umat Melayu´ ini; Surah Yaasin merupakan kitab suci yang diturunkan kepadanya dan solat lima waktu tidak wajib kerana ´Rasul Umat Melayu´ mendakwa tidak ada sebarang dalil daripada kitab suci Al-Quran berhubung kewajipan menunaikan solat. Kitab suci al-Quran dinafikan oleh ´Rasul Umat Melayu´ ini sebagai kalam Allah dengan menulis, mencetak dan mencipta senaskhah al-Quran dalam bahasa Melayu, sekali gus menolak al-Quran yang diturunkan sejak 1500 tahun lalu dalam bahasa Arab.

Kebobrokan dan kedangkalan pemikiran Haji Kahar Ahmad, 56, menggemparkan umat Islam di Malaysia. Dakwaan diwahyukan oleh Allah sebagai ´Rasul Umat Melayu´ tidak ubah seperti manusia normal yang menghidap penyakit mental – tidak mampu berfikir secara rasional dan pemikiran ´diserang´ sindrom riak dan takbur. Berani mengaku menjadi utusan Allah biarpun pemikirannya itu sudah ternyata ´songsang´ dan ´gila´.

Ajaran Haji Kahar Ahmad yang berpusat di Bukit Kemensah, Hulu Kelang, mengetengahkan ajaran yang dianggap ´menarik minat´ golongan yang cuba mencari jalan mudah mendalami Islam secara membabi buta. Menurut ajaran ´Rasul Umat Melayu´ ini, umat Islam boleh mengerjakan haji pada bila-bila masa di muka bumi ini tanpa perlu pergi ke Mekah. Mereka yang menunaikan fardu haji di Mekah itu sebenarnya hanya sekadar ´melawat´ kesan tinggalan sejarah nabi-nabi terdahulu sebelumnya termasuk junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Golongan ahli hadis termasuk Ahlus Sunnah Wal Jamaah ditolak mentah-mentah oleh Haji Kahar Ahmad sebagai satu rekaan manusia selepas kewafatan Rasulullah. Dakwanya, Allah mengutuskan malaikat Jibril a.s untuk turun kepadanya dan mewahyukan bahawa dia dilantik menjadi rasul menerusi Surah Yaasin. Al-Quran yang dibaca oleh umat Islam di seluruh dunia pada hari ini bukanlah al-Quran yang sebenar – kalam Allah itu berada kekal dan ´disimpan´ di Luh Mahfuz.

Tambah mengelirukan – Haji Kahar Ahmad mendakwa mendapat ´maunah´ atau pertolongan serta perlindungan Allah melalui pemberian mukjizat. Dalam satu peristiwa, Haji Kahar mendakwa kepada para pengikutnya dia dilindungi oleh Allah ketika hari hujan, dia tidak akan terkena hujan dan begitulah sebaliknya jika hari panas. Mungkin juga ketika itu Haji Kahar Ahmad ´berlindung´ di bawah sekaki payung sehingga menimbulkan berani mendakwa ia sebagai satu mukjizat kurniaan Allah? Kenyataan Haji Kahar Ahmad tidak ubah sekadar mengaburi pemikiran para pengikut ajarannya dan difusi penyelewangan akidah secara halus.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w sebelum kewafatan baginda:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selamanya selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah Rasulnya.”

Ajaran ini telah diwartakan sebagai sesat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 29 Ogos 1991 setelah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 28 Mac 1991. Namun, setelah sedemikian lama difatwakan sebagai ajaran sesat, Haji Kahar Ahmad kembali menggegarkan kosmos Islam Malaysia apabila membuat pendedahan secara terbuka bahawa dia adalah ´Rasul Melayu´ sewaktu ditangkap oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor di rumahnya, Bukit Kemensah, Hulu Kelang.

Cerita kemunculan individu yang mendakwa sebagai rasul dan nabi di Malaysia bukan perkara baru. Ia dikesan banyak berlaku di kalangan pengamal ajaran sesat yang menyeleweng daripada akidah Islam. JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah mewartakan lebih 30 ajaran sesat di seluruh negara yang boleh mengancam keselamatan dan kerukunan Islam antaranya Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Ajaran Martabat Tujuh, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Pergerakan Al-Maunah dan Al-Arqam. Pengasan ajaran sesat dan tarikat ini ada di antaranya secara terang-terangan mengakui sebagai Imam Mahadi seperti ajaran Nordin Puteh dan Tarikat Mufarridiyyah.

Ajaran sesat dikesan bertapak di Malaysia sekitar 1870-an dengan nama ajaran Taslim pimpinan Haji Ahmad Matahari. Ajaran ini berkembang di Kampung Seronok, Bayan Lepas, dan kemudiannya berkembang ke beberapa negeri seperti Kedah, Perak dan Negeri Sembilan. Selepas itu, muncul beberapa ajaran baru sekitar tahun 1950-an seperti ajara Subud yang akhirnya berkembang sebagai ajaran Martabat Tujuh.

Kanvas sejarah Islam mencatatkan kemunculan nabi-nabi palsu ini berlaku selpas kewafatan Baginda Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi dan rasul akhir zaman (tidak ada nabi atau rasul selepas itu). Golongan ´Ar-Riddah´ ini muncul akibat kedangkalan dan keangkuhan mereka untuk mencapai darjat yang dianugerahkan oleh Allah kepada para nabi dan rasul. Hakikat yang tidak mungkin dicapai oleh umat manusia selepas kewafatan Nabi s.a.w ini digunakan untuk kepentingan peribadi terutama mencari pengaruh dan kekuasaan.

Sejak zaman pemerintahan khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq lagi telah muncul beberapa individu yang sesat dengan mendakwa diri sendiri sebagai nabi dan rasul. Khalfah Abu Bakar As-Siddiq dan beberapa khalifah selepas itu mengambil tindakan memerangi golongan itu kerana ia mencemarkan kesucian Islam. Antara nabi-nabi palsu itu ialah Musailamah Al-Khazab, Aswad Al-Insi, Tulaihah Al-Asadi, Sajjah binti Al-Harith (dakwa sebagai nabi wanita), Ibnu Sam´an dan Abu Mansur Al-Ijli.

Khalifah-khalifah daulah Islam mengambil tindakan memerangi golongan Ar-Riddah ini suatu masa dahulu – metodologi nasihat sebagai asas kesedaran. Sekiranya nasihat untuk bertaubat tidak dipatuhi oleh golongan ´Ar-Riddah´; tindakan memerangi mereka diambil sebagai jalan terakhir. Mengambil iktibar daripada tindakan khalifah-khalifah Islam ini, Malaysia mengambil pendekatan efektif selaras dengan tuntutan Islam – berusaha memulihkan akidah mereka yang sesat dan mengharamkan pergerakan atau perkumpulan ajaran sesat seperti ajaran Haji Kahar Ahmad.

Ancaman ajaran-ajaran sesat seperti ini bukan sahaja mengancam akidah umat islam di Malaysia malahan menggugat ketenteraman dan keselamatan negara. Oktober 1974 menyaksikan pasukan keselamatan diserang oleh kumpulan ajaran sesat 4 Sahabat di Kampung Dedap, Rantau Panjang dan pengasas ajaran Tajul Ariffin yang mengakui diri sebagai Imam Mahadi telah mencederakan seorang imam masjid di Rapat Setia, Ipoh.

Negara pernah digemparkan dengan tragedi serangan Balai Polis Batu Pahat, Johor, oleh kumpulan ajaran Nasir Ismail pimpinan Ahmad Nasir Ismail yang berasal dari Kemboja. Peristiwa 16 Oktober 1980 itu menyebabkan ramai anggota polis mendapat kecederaan termasuk beberapa orang awam. Selepas itu, kumpulan Ibrahim Libya telah bertempur dengan pasukan keselamatan di Baling, Kedah, pada tahun 1986 mengakibatkan beberapa pengikutnya terbunuh termasuk beberapa anggota pasukan keselamatan. Lebih mengejutkan, para pengikut Ibrahim Libya sanggup menggadai nyawa membentuk manusia bagi menghalang ketua kumpulan itu ditahan.

Sekitar tahun 1990-an hingga 2000 – Al-Arqam dikesan bergiat aktif di bawah pimpinan Ashari Muhammad yang berpegang kepada tarikat Aurad Muhammadiyah. Pemimpin Al-Arqam ini akhirnya mendakwa diri sebagai Imam Mahadi dengan mengemukakan 13 dalil Ashari Muhammad adalah Imam Mahdi. Negara sekali lagi dikejutkan dengan tragedi sebuah kumpulan silat dengan nama Al-Maunah pimpinan Mohd Amin mencuri senjata di dua kem tentera di Sauk. Peristiwa yang dikenali sebagai tragedi Sauk dan Bukit Jenalek berakhir dengan kematian dua anggota polis dan ahli kumpulan Al-Maunah menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Malaysia mempunyai metodologi khusus dalam menangani kumpulan-kumpulan ajaran sesat seperti Haji Kahar Ahmad dan ramai lagi. Mana-mana pemimpin ajaran sesat dan para pengikutnya akan ditahan di bawah perintah pihak berkuasa Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Mereka akan di hadapkan ke mahkamah dan boleh dipenjara atas perintah mahkamah. Dalam pada itu, orang-orang seperti Haji Kahar Ahmad dan pengikutnya disaran bertaubat kepada Allah dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Bagi menyelamatkan akidah mereka daripada terus terpesong jauh, pusat-pusat pemulihan akidah di beberapa buah negeri seperti Negeri Sembilan dan Selangor digunakan untuk mengembalikan akidah mereka kepada Islam.

Orang ramai dinasihatkan jangan terlalu mudah terpengaruh dengan dakyah songsang dengan menyajikan beberapa ajaran pelik, menarik dan menyimpang daripada Islam. Mereka dinasihatkan merujuk kepada jabatan-jabatan agama berhampiran untuk mendapatkan maklumat dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan dengan individu yang mendakwa sebagai nabi dan rasul, menolak al-Quran sebagai kitab suci, mengamalkan pelbagai amalan tarikat yang bercanggah dengan syariat, mendakwa diri sebagai Imam Mahadi, mengamalkan pernikahan batin dan menolak hukum-hukum yang telah ditentukan oleh Allah.

Kebanyakan kes membabitkan orang ramai terjebak dalam ajaran sesat seperti ajaran Haji Kahar Ahmad ini bermula daripada sikap terlalu taksub kepada pemimpin. Ketaksuban yang terlalu menggunung menyebab hati mereka buta untuk menilai perlakuan songsang lalu menerima ajaran salah sebagai ajaran Islam sebenar. Difusi ajaran salah ke atas jiwa pengikut ajaran salah ini dikesan banyak berlaku di kalangan anggota ajaran sesat dari golongan profesional. Pada peringkat awal, mereka ´mencari´ sinar Islam dengan mendalami syariat Islam tetapi tersilap langkah apabila menerima bulat-bulat setiap ajaran yang disampaikan oleh ´Tok Guru´ tanpa asas agama yang kukuh.

Renungan; sebaik-baik kitab adalah kalam Allah (al-Quran) sebagai petunjuk dan jalan ke arah kebahagian di dunia dan akhirat. Sebaik-baik ´berguru´ adalah ´berguru´ dengan guru yang alim, benar jalan agamanya dan tidak menolak al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias. Sebaik-baik guru itu adalah mereka yang tidak menolak Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Sebaik-baik kehidupan beragama itu adalah Islam, cara hidup yang sempurna dan agama yang diredai oleh Allah.

Related Articles:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Speak Your Mind

*

*
= 5 + 8

CommentLuv badge