Selama ini Umie Aida boleh dikatakan “fobia” untuk menerima mana-mana lelaki untuk dijadikan teman hidup. Dia (yang sekarang ini mempunyai 2 anak angkat) dikatakan terbuka pintu hati untuk menerima lelaki kerana “abang” yakni Datuk Khairuddin.
“Bukannya saya antilelaki, sebaliknya, saya tidak sanggup lagi dikecewakan untuk ke sekian kalinya.” kata Umie Aida.
ada misai gak..
Menurut Utusan online lagi;
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Aktres Umie Aida mengakui pintu hatinya hampir tertutup untuk menerima kehadiran lelaki sebagai suami gara-gara beberapa kali putus cinta.
Namun kehadiran usahawan Datuk Khairuddin Abu Hassan mengubah pendiriannya sehingga lembut hati menerima semula cinta lelaki.
“Bukannya saya antilelaki, sebaliknya, saya tidak sanggup lagi dikecewakan untuk ke sekian kalinya.
“Namun begitu kehadiran abang (panggilan buat Khairuddin) mengubah pendirian saya. Saya sangat senang berada di sampingnya,” jelas Umie kepada Utusan Malaysia pada satu pertemuan di kondominium mewahnya di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.
Umie yang akan bertunang dengan Khairuddin malam esok memberitahu, sikap bakal suaminya yang sangat merendah diri serta bertanggungjawab menyebabkan dia jatuh cinta dengan usahawan itu.
Pelakon utama filem Embun itu pada masa yang sama kesal dengan pandangan sesetengah pihak yang mendakwa dia seorang materialistik selepas mengumumkan bakal bernikah dengan ahli perniagaan yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.
Umie atau nama sebenarnya, Umie Khalsum Rahmad, 36, menegaskan dia memilih Khairuddin, 47, sebagai bakal suaminya bukan kerana harta.
“Keperibadian abang yang sangat menawan melebihi segala-gala yang saya perlukan. Jujur saya katakan bukan harta kekayaan beliau yang saya pandang,” tegas Umie lagi.
Menurutnya, Khairuddin yang juga duda anak dua begitu mementingkan hubungan kasih sayang dengan anak-anaknya.
Kebetulan Umie sendiri ada memelihara dua anak angkat, Mohd. Daniel Firdaus, 15, dan Mohd. Dzulhelmy, 14, yang menyebabkan ada keserasian dalam proses menjalin hubungan kasih sayang sesama mereka.
“Kehadiran abang juga sangat disenangi oleh kedua-dua anak saya. Bahkan, anak-anak abang daripada perkahwinan terdahulu juga merestui hubungan kami berdua.
“Semua ini sudah cukup menggembirakan saya kerana ada seorang lelaki yang bersedia menerima saya seadanya,” katanya lagi.
Umie yang berkesempatan meraikan Aidilfitri di rumah bakal mertuanya di Kampung Kebun Sireh, Bukit Mertajam pada hari raya kedua lalu turut memberitahu, dia dan Khairuddin merancang berkahwin pada awal tahun depan.
Sementara itu, seramai 50 anggota keluarga Khairuddin dari Pulau Pinang akan hadir pada majlis pertunangan itu esok.
Umie pula mengundang rakan-rakan rapat, pihak media serta kaum keluarganya.
“Rasa takut, bimbang dan suka semuanya sedang bermain di fikiran saya. Doa saya semoga majlis pertunangan saya berjalan lancar,” kata Umie yang juga adik kepada pelakon dan pengarah ternama, Erma Fatima.
Umie mendapatkan khidmat perunding perkahwinan, Kem Salleh untuk menyelenggarakan majlis pertunangannya. Wajah Umie pula bakal disolek oleh jurusolek ternama, Khir Khalid manakala pakaiannya rekaan Bill Keith.
Dari artikel lain di Utusan online;
Sifat keibuan Umie memikat
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Sifat keibuan Umie Aida menambat hati Datuk Khairuddin Abu Hassan sehingga terdorong melamar aktres itu menjadi isterinya.
Menurut Khairuddin, Umie juga seorang wanita cukup unik yang pernah ditemuinya.
“Dia mempunyai asas agama biarpun pada masa yang sama merupakan seorang wanita yang berdikari, moden dan berfikiran terbuka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khairuddin yang menerajui dua syarikat korporat tersenarai di Bursa Kuala Lumpur sedikit pun tidak merasa terbeban walaupun ditemukan jodoh dengan seorang artis ternama.
Usahawan berusia 47 tahun itu mengakui kerap ditanya sejauh mana beliau mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan glamor khususnya selepas berkahwin dengan Umie.
Bagi duda anak dua ini, yang membezakan beliau dan Umie hanyalah kerjaya masing-masing. Apa yang penting katanya, hati dan perasaan mereka berdua adalah sama iaitu saling menyayangi.
“Saya yakin kami berdua mampu menyesuaikan diri.
“Saya lebih senang membiarkan Umie dengan kerja-kerja seninya, manakala saya akan low profile dan memberi tumpuan pada dunia korporat,” katanya yang juga penasihat kepada Dewan Perniagaan Industri Korea Selatan di Malaysia.
Tambah Khairuddin, kecenderungan Umie melakukan kerja-kerja amal turut membuatkan beliau mengagumi bakal isterinya itu.
Justeru, beliau merancang untuk mengasaskan sebuah yayasan kebajikan bagi membolehkan mereka berdua berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik selepas berkahwin kelak.
“Saya sangat gembira kerana Umie gemar melakukan kerja-kerja amal. Saya juga terharu kerana selama ini dia banyak membantu orang dalam diam,” ujar Khairuddin mengenai peribadi bakal isterinya itu.
Buat masa ini, Khairuddin menyerahkan kepada Umie memilih tarikh sesuai untuk mereka berdua disatukan sebagai suami isteri.
Beliau bersyukur kerana kedua-dua anak lelakinya yang berusia 18 dan 16 tahun serta kaum keluarga merestui hubungan mereka berdua.



Recent Comments