Padah kerana menggunakan bahan terlarang, Pelumba basikal trek kebangsaan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi tidak boleh merayu terhadap hukuman gantung dua tahun yang dikenakan ke atasnya.
Petikan Kosmo Online:
ATLET lumba basikal trek kebangsaan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi tidak boleh merayu terhadap hukuman gantung dua tahun yang dikenakan ke atasnya ekoran kesalahannya menggunakan bahan larangan semasa temasya Mini Olimpik, awal bulan lepas.
Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohammad (gambar kecil) berkata, mereka akan mematuhi peraturan itu seperti yang ditetapkan oleh Agensi Anti-Dadah Antarabangsa (Wada), dan tiada sebarang tolak ansur mengenai perkara itu.
“Jawatankuasa disiplin PKBM akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk memanggil Fauzan bagi mendapatkan penjelasannya selain memaklumkan secara rasmi hukuman yang dikenakan keatasnya,” katanya semalam.
Naim berkata, selain tindakan penggantungan, jawatankuasa itu juga mungkin akan mengesyorkan penarikan balik dua pingat emas yang dimenanginya pada Mini Olimpik lalu.
“Malah kemenangan Fauzan semasa mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa juga mungkin terpaksa dikaji semula selain berdepan hukuman lain daripada PKBM,” katanya.
Naim berkata, pihaknya juga akan mencadangkan kepada jawatankuasa kerja bersama PKBM dan Majlis Sukan Negara (MSN) agar nama Fauzan dikeluarkan daripada senarai pelatih di Melbourne serta skuad kebangsaan.
Fauzan sebelum ini disahkan positif oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) kerana menggunakan anabolic steroid semasa menyertai kejohanan Mini Olimpik.
Pelumba berusia 24 tahun itu dilaporkan mengaku menggunakan dadah larangan terbabit yang diambilnya bagi merawat kecederaan lutut yang dialaminya pada Oktober tahun lepas, namun menurutnya beliau tidak sedar ubat berkenaan menyebabkannya diuji positif.
Sementara itu mengenai seorang lagi pelumba kebangsaan, Mohd. Rizal Tisin yang dilaporkan akan kembali menjalani latihan di Melbourne hujung bulan ini, mungkin akan pergi ke sana lebih awal.
“Dua hari lepas, ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley meminta saya menghantar Mohd. Rizal dengan segera bagi memudahkan persiapan, terutamanya yang membabitkan acara pecut berpasukan,” katanya.
Naim berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Mohd. Rizal dalam masa terdekat.

Recent Comments