Bila Khairy Jamaluddin bawa teksi. Itulah lakonan terbaru yang dimainkan oleh ahli politik Rembau ini dalam filem pendek 15Malaysia. Filem pendek yang bertajuk “Meter” ini diarahkan oleh Benji Lim dan Bahir Yeusuff menyentuh tentang pelbagai aspek kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia.
Petikan dari Rembau.net.my
September 09, 2009
15 Malaysia – ‘Meter’
Hari ini filem pendek “Meter” arahan Benji Lim dan Bahir Yeusuff serta lakonan saya akan disiarkan di laman web projek 15Malaysia yang memaparkan 15 filem pendek menyentuh pelbagai aspek kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia.
Saya membabitkan diri dalam projek 15Malaysia ini atas dasar mesej perpaduan yang saya percaya mampu disampaikan melalui aneka persoalan yang ditimbulkan melalui seni perfileman, khasnya melalui filem-filem pendek.
Dalam filem “Meter”, saya memegang watak seorang pemandu teksi yang memberi komen dan berkongsi pandangan mengenai isu-isu semasa dengan cara yang agak melucukan.
Disamping kelucuan gelagat pemandu teksi itu, terdapat beberapa mesej tersirat yang cuba disampaikan melalui siri adegan di dalam kereta sewa saya. Antara lain, saya cuba menonjolkan budaya paradoks atau ironis yang wujud di kalangan rakyat Malaysia, di mana kita menyebut sesuatu tetapi melakukan yang lain. Ini bukan bermakna saya mengatakan ada rakyat Malaysia yang cakap tak serupa bikin, tetapi sebaliknya ingin menyampaikan satu mesej: yakni dalam sebarang perdebatan isu semasa, adakalanya setelah dicemari emosi, dogma dan ideologi politik, maka tanpa disedari pegangan kita sebagai individu bercanggah dengan perbuatan kita sendiri.
Selain itu, kita sebagai rakyat Malaysia di segenap lapisan masyarakat juga lazimnya mempunyai seribu satu komen dan rungutan mengenai setiap perkara yang berlaku di negara ini – baik dari isu politik, ekonomi mahupun sukan negara. Namun, kadang kala rungutan-rungutan ini juga tidak lahir dari pemahaman yang jitu, dan akhirnya apa yang disebarkan adalah khabar angin atau perspektif serong yang tidak berteraskan kenyataan.
Perlu saya sebut di sini bahawa sebarang pandangan mengenai isu dan topik yang dipaparkan melalui watak saya tidak menggambarkan pegangan saya yang sebenar, dan saya juga tidak berniat untuk memburukkan sesiapa melalui watak tersebut. Sebaliknya, filem ini berbentuk jenaka politik atau “political satire”, yang memerlukan kita “ketawa pada diri sendiri” dalam pada mengupas persoalan-persoalan sosio-politik negara.
Pada hemat saya, iklim politik negara sudah sampai ke tahap yang memanggil kita membudayakan elemen “political satire” ini bagi membuktikan bahawa sungguhpun politik berkisar isu-isu serius, tetapi ia tidak bermaksud politik itu sendiri perlu terlalu serius sampai kita tidak boleh berjenaka sedikit sekali-sekala, supaya tidak terlalu beremosi sehingga lupa pada perpaduan sebagai rakyat Malaysia yang mungkin berbeza pegangan politik tetapi sama cintakan negara dan boleh ketawakan benda yang sama.
Maka, saya harap semua akan menonton filem “Meter” ini dengan hati yang terbuka dan melalui sudut positif, supaya mesej sebenar dapat kita kongsi bersama.
Recent Comments