Aizat akan membujang sampai 30

Huhuhu… parah beb bila ayah suh membujang sampai 30 tahun. Itulah syarat yang dikenakan oleh ayah aizat kepadanya.

Petikan dari Kosmo Online:

BIARPUN dititipkan syarat oleh ayahanda tercinta Datuk Amdan Mat Din, Aizat hanya boleh menempuh alam rumah tangga pada usia 30 tahun, penyanyi berbakat besar itu bagaimanapun tidak berasa tertekan atau memberontak dengan syarat orang tuanya itu.

Bahkan, bukan Aizat atau nama lengkapnya Muhammad Aizat Amdan sahaja yang terikat dengan syarat tersebut, tetapi ia turut dikenakan ke atas adik-beradiknya yang lain.

Lima adik-beradik kesayangan Aizat ialah Muhammad Amir, 29, Muhammad Amar, 27, Nur Ilizuhair, 25, Muhammad Anas, 23 dan Muhammad Aliff, 18.

Aizat memberitahu dia terbuka dengan permintaan bapanya itu kerana sebagai orang tua yang lebih makan banyak garam, nasihat tersebut mungkin ada kebaikannya.

Aizat yang baru menjengah umur 20 tahun tanpa berselindung bagaimanapun jujur mengakui pada permulaannya, dia sedikit sulit menerima syarat keras itu.

“Setelah difikirkan semula, apa yang ayah saya cakap ini memang ada benarnya. Sebenarnya ayah hendak tengok saya dan adik-beradik saya yang lain matang dari segi mental dan fizikal dahulu sebelum menempuh gerbang perkahwinan.

“Biarpun dikenakan syarat ini, hakikatnya saya cukup bersyukur kerana ahli keluarga tidak pernah mengongkong kehidupan saya. Malah, mereka menggalakkan saya berkawan dengan ramai orang.

“Saya juga bebas memilih dengan siapa yang saya hendak berkawan termasuklah dalam soal mencari teman wanita. Keluarga saya memang bersikap terbuka dalam perkara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa yang diadakan Aizat dan keluarga di Masjid Asy-Syakirin, Kuala Lumpur minggu lalu.

Selain disyaratkan tidak mendirikan rumah tangga pada usia terlalu muda, bapa Aizat turut memberikan beberapa nasihat lain buat anaknya, apatah lagi skop kerjaya Aizat yang dilihat bergelumang dengan dunia glamor sering diuji dengan pelbagai dugaan.

Amdan yang juga Pengarah Eksekutif Kasi Gegar Entertainment Sdn. Bhd. sempat melontarkan teguran kepada anak bujangnya itu agar tidak terlalu leka serta hanyut dengan dunia seni yang cahaya indah hanya untuk tempoh seketika.

Tinggi melangit sebenarnya impian Amdan terhadap Aizat yang bakatnya mula dicungkil menerusi rancangan realiti terkenal, Akademi Fantasia musim kelima (A5).

Tidak mahu ditonjolkan sebagai penyanyi biasa sahaja, Amdan mahu mengetengahkan Aizat sehingga tahap tertinggi bergelar seorang penghibur.

“Saya ada misi tersendiri tentang kerjaya seni Aizat. Saya mahu dia jadi macam Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang mampu menarik minat semua golongan masyarakat termasuk peminat bukan Melayu.

“Bahkan, saya tidak kisah memperuntukkan perbelanjaan besar andai Aizat mahu menyambung pelajaran di luar negara demi mencari ilmu dalam bidang muzik.

“Kerana itu, saya minta dia berkahwin selepas usia 30 tahun. Kalau awal, dia tidak akan mendapat izin daripada saya. Bukan saya sengaja meletakkan syarat yang bukan-bukan kepada dia dan anak lain. Saya sebenarnya melakukan perkara ini dengan niat tertentu.

“Padaumur 30 tahun, saya percaya mereka (anak-anak) sudah ada sumber kewangan yang kukuh dan ada perlindungan untuk diri dan keluarga yang dibina kelak.

“Lagipun kalau berkahwin terlalu muda, saya bimbang terjadinya hal yang melibatkan penceraian. Saya tidak mahu perkara sama berlaku kepada saya sebelum ini menimpa anak-anak,” jelasnya yang sudah 11 tahun berpisah dengan bekas isterinya yang juga merupakan ibu Aizat, Fina Nurhizah Baharu Zaman, 52.

AIZAT bersama ayahnya, Amdan memberikan duit raya dan cenderamata kepada anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa anjurannya di Masjid Asy-Syakirin, Kuala Lumpur

Fina kini sudah mendirikan rumah tangga dengan Syed Abdul Rahim Syed Jaafar, 53 dan tidak mempunyai cahaya mata. Adik-beradik Aizat yang menggelarkan Syed Abdul Rahim sebagai Uncle turut rapat dengan ahli keluarga baru mereka itu.

Walaupun Aizat berdiri sekitar dua atau tiga meter dari ayahnya sewaktu Amdan ditemubual wartawan, dia yang kelihatan segak menyarung jubah putih sempat mencuri dengar perbualan.

Malah, Aizat yang asyik tersengeh-sengeh, sesekali sempat menyampuk perbualan jika terdapat butir bicara ayahnya yang dirasakan kurang dipersetujui. Begitulah akrabnya hubungan antara Aizat dan Amdan!

Muncul dengan lagu kerohanian

Bercakap tentang majlis berbuka puasa dan doa selamat yang diadakan baru-baru ini, beritahu Aizat, acara itu sebenarnya sudah dibuat sejak tahun lepas lagi di Kompleks Dayabumi di ibu negara.

Cuma pada tahun ini, Aizat dan keluarga memberikan sedikit kelainan dengan mengadakan majlis berbuka puasa, doa selamat dan sembahyang tarawih dalam saiz jemputan yang lebih besar. Tidak ketinggalan, Aizat dan keluarganya turut memberikan sumbangan kepada 40 orang anak yatim Rumah Dibela, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Tahun ini kami buat lagi besar dan meriah sebab dimurahkan rezeki oleh Allah. Ia juga memperlihatkan tanda kesyukuran kami sekeluarga sekali gus menyampaikan sumbangan kepada insan-insan yang memerlukan.

“Selain itu, sesiapa yang datang pada majlis ini turut membawa pulang cenderamata seperti surah Yasin dan single kerohanian saya yang terbaru, Erti Hari Ini,” luah Aizat sambil tersenyum puas.

AIZAT bersama keluarganya. Belakang dari kiri: Amir, Amar, Fina, Ilizuhair, Amdan dan Anas.

Berbahas panjang lebar tentang lagu berkenaan, Aizat memberitahu, ia punya signifikan tersendiri apatah lagi ia dicipta bersama abang yang cukup rapat dengannya, Anas.

“Lagu ini dihasilkan pada tahun ini juga sebelum menjelangnya bulan Ramadan. Idea untuk menghasilkan lagu kerohanian ini muncul setelah menyaksikan penderitaan yang dialami oleh penduduk di Semenanjung Gaza.

“Saya dan abang tengok berita di televisyen sambil melihat kanak-kanak kecil yang terkorban dan hidup dalam kesukaran. Sepantas kilat ilham untuk menghasilkan lagu ini timbul dan ditujukan kepada mereka.

“Ia disudahkan dan dirakam dalam tempoh satu hari saja. Lagu ini diselitkan dalam album kedua saya yang bakal muncul sama ada penghujung tahun ini atau awal 2010,” jelas Aizat yang memang punya keserasian dengan Anas.

Related Articles:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Speak Your Mind

*

*
= 4 + 6

CommentLuv badge